Sunday, December 11, 2011

Akhlak Juga Penting

Assalammualaikum...

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia". Riwayat Abu Daud
Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.

Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.

Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.


إِنَّا
أَخْلَصْنَاهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ
Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi, yaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat
(Surah Sodh 38: 46) 

Andai Kamu Ingin Memberi Cinta

Assalammualaikum..


CINTA. Istilah ini amat popular. Ia mudah dikata tetapi sukar dimengerti. Tatkala melafaz istilah ini, ia mencetuskan pelbagai makna dan perasaan buat seseorang. Ada getaran di suara apabila menyebutnya, ada gambaran indah di layar minda apabila mengingatinya dan ada perasaan berbunga di hati tatkala menghayatinya.

Cinta boleh menjadi istilah yang paling disukai. Atau paling dibenci, bergantung kepada saat bahagia atau deritanya seseorang dengan cinta. Namun ia juga sering disalah anggap kerana cinta biasanya dikaitkan dengan cinta lelaki dan perempuan yang mengasyikkan. Dalam ertikata lain, cinta di alam remaja yang disebut sebagai 'cintan-cintun'.

Tetapi, apabila ruang lingkup cinta itu diperluaskan, kita akan dapati cinta itu mencakupi cinta anak kepada ibubapanya, kepada isteri atau suami, kepada sahabat, alam, kampung, negeri, negara dan yang paling mutlak dan hak ialah cinta kepada al-Khaliq iaitu ALLAH SWT.

Dalam pada itu, oleh kerana mudahnya istilah cinta ini disebut-sebut, ia seolah-olah sesuatu yang begitu mudah dicurahkan. Bahkan, adakalanya ia menjadi begitu murah. Kerana apa? Kerana pada pelbagai ketika dan keadaan, kita sebenarnya tidak menyintai apa atau siapa yang kita cinta. Ia berlaku apabila kita tidak mengerti perasaan kita sendiri akibat tidak menyelami sanubari.

Ini terjadi apabila kita menyintai kerana terikut-ikut dengan dunia cinta orang lain. Cinta ikut-ikutan ialah apabila kita turut bercinta semata-mata kerana kita lihat orang lain bercinta. Pendek kata kerana kita tidak mahu ketinggalan. Kita menyukai sesuatu kerana lihat orang lain suka. Kalau orang lain ada kekasih, kita pun mahu kekasih sedangkan kita belum bersedia untuk menyintai.